Redonah
Redonah beramah mesra dengan beberapa penduduk kampung yang dilawati bersama Wanita Gagasan Rakyat yang kurang sihat kerana sakit, uzur, warga emas serta OKU ( Sumber Foto: Ihsan Wanita Gagasan Rakyat )

KOTA KINABALU, SABAH – Pemimpin dan ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) diminta berusaha membina nama baik parti dalam kalangan rakyat.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, bagi tujuan itu, semua pihak perlu berganding bahu bekerja keras demi kesejahteraan rakyat dan mengetepikan kepentingan diri.

Beliau yakin, jika anggota parti dalam setiap gerak kerja dan program yang dilaksanakan bekerja dengan tulus ikhlas, pasti rakyat akan terus memberikan sokongan dalam apa juga keadaan.

“Gerak kerja parti amat menuntut semua anggota mengenepikan kepentingan diri, sebaliknya sentiasa fokus kepada kepentingan  rakyat dan negeri sebagai matlamat utama.

“Selain itu, kita juga perlu sentiasa bersifat terbuka kepada sebarang pandangan serta bersedia untuk menerima teguran yang membina.

“Teguran dan kritikan adalah elemen penting bagi kita bermuhasabah diri dalam perancangan menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat bahagian Sugut, Telupid, Kuamut dan Labuk kelmarin di Beluran.

Hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh (Darau), Ketua Penerangan, Anna Bell Perian (Sungai Sibuga), Ketua Penyelaras Beluran, Aneh Jambri (Telupid), Setiausaha Kerja Azizah Atoh serta pemimpin wanita Gagasan Rakyat setiap bahagian.

Semasa berada di Beluran, Redonah turut mengadakan Ziarah Sayang di beberapa tempat di Kampung Sungai Sungai, Perumahan Bukit Kampung Sungai Sungai, Sugut dan Kampung Entilibon, Labuk. Seorang warga emas yang sakit, orang kurang upaya dan warga emas yang uzur.

Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa, anggota parti tidak boleh sesekali berfikir bahawa parti dalam keadaan sempurna, sebaliknya perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri dan menambah baik sebarang kekurangan yang ada.

Malah, katanya, Presiden yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan semua 73 bahagian parti melakukan persediaan awal untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat pada PRN akan datang.

Jelas beliau, persiapan ini perlu dilaksanakan dengan baik, tersusun dan berstrategi khususnya dalam gerak kerja secara bersama dengan parti-parti komponen utama GRS yang turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

“Sebab itu fokus Wanita Gagasan Rakyat ialah kita menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan, kita tidak mahu terlalu berpolitik yang akhirnya merencatkan usaha kita membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri.

Sebagai sebuah parti lokal, kita akan menggunakan pendekatan yang lebih strategik dan berbeza iaitu cara yang sinonim dengan budaya masyarakat Sabah untuk menarik penyertaan ramai rakyat ke parti ini,” katanya.

Tambah beliau, apa yang penting ialah setiap anggota parti terus komited dengan hala tuju dan perjuangan parti kerana sikap itu yang bakal menentukan kejayaan bagi khidmat kepada pengundi dan rakyat.

Katanya, setiap anggota Wanita Gagasan Rakyat juga mesti sentiasa bersikap proaktif dan lebih kreatif dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada golongan sasar.

“Suatu yang perlu diingatkan ialah setiap anggota Gagasan Rakyat perlu sentiasa mencari ilmu-ilmu baharu kerana dunia hari ini berubah dengan begitu pantas.

“Tanpa ilmu dan kemahiran baharu kita akan ketinggalan. Jika ketinggalan bagaimana mungkin kita mampu memberi khidmat yang efisien serta efektif kepada rakyat,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *