Jauteh
Jauteh menunjukkan sebuah bungkusan dadah jenis syabu

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah merekodkan rampasan terbesar tahun ini dengan 14 kilogram (KG) syabu dirampas dianggarkan bernilai RM840,000.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata lima suspek lelaki berusia 17 hingga 40 tahun ditahan berhubung empat kes berasingan di Kinabatangan, Semporna, Inanam dan Tuaran dalam operasi bermula 3 Julai (Isnin) lalu.

“Turut dirampas ialah wang tunai, barang kemas, beg mewah dan 11 kereta berjumlah RM1.2 juta.

“Suspek-suspek mendakwa bertindak sebagai orang tengah, mengatakan mereka memperoleh dadah daripada orang lain sebelum menjualnya ke pasaran tempatan.

“Kami sedang menyiasat sama ada sindiket itu ada berhubung kait dan juga aktif memburu rakan subahat terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Katanya seramai 8,030 individu ditangkap berkait kes dadah dalam tempoh Januari hingga Julai 2023.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

”Pelbagai rampasan dadah telah dibuat bernilai RM2.1 juta dan nilai rampasan harta penjenayah dadah dibawah undang-undang Perlucuthakan Harta adalah sebanyak RM3.5 juta,” jelasnya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *