Joachim
Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima baik hasrat disuarakan oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk kedua-dua parti bergabung, namun menganggap ia setakat ini hanyalah sekadar cadangan.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam menjelaskan, setakat ini tiada perbincangan rasmi di antara kedua-dua pihak bagi tujuan itu (bergabung).

“Cerita bergabung ini adalah bersifat ‘premature to discuss’ (pramatang untuk dibincang) disebabkan tidak ada atau belum ada jawatankuasa rasmi yang dibentuk untuk membincangkan perkara ini,” kata Pengerusi Task Force PBS itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Joachim bagaimanapun berkata, PBS sememangnya sudah bekerjasama dengan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dimana PBS dan STAR antara ahlinya.

“Kerjasama ini akan diteruskan dan diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17,” katanya.

Beliau memberi respons kepada kenyataan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan baru-baru ini yang mengatakan STAR bersedia bergabung dengan PBS bagi mengukuhkan parti pelbagai kaum berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) sebelum PRN Sabah yang dijangka diadakan dua tahun lagi.

“PBS sudah bertapak di negeri ini sejak 38 tahun yang lalu. Perihal bergabung ini, perlu mendapat persetujuan semua ahli PBS melalui Persidangan Tahunan (kongres),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *