Spr
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook SPR )

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Memetik sumber Berita Harian, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini.

Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemaskini 21 Jun lalu, membabitkan 9,773,571 pemilih.

DPPR itu membabitkan 9,674,456 pengundi biasa, tentera dan pasangan (49,660), polis dan pasangan (47,728) dan seramai 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi menjalankan proses PRN ini, SPR melantik 245 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 740 Penolong Pegawai Pengurus manakala bagi memantau aktiviti kempen, SPR akan menubuhkan 252 Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya (PP-KPR) diwakili polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

“Bagi PRN kali ini juga, seramai 153,750 petugas dilantik dan sebanyak 173 pusat penamaan calon serta 186 pusat penjumlahan undi akan digunakan dengan keseluruhan pusat mengundi adalah sebanyak 3,450 buah dengan 17,425 tempat saluran mengundi termasuk 260 pusat pengundian awal,” katanya.

Abdul Ghani berkata, PRN membabitkan enam negeri itu dianggar membabitkan peruntukan sebanyak RM420 juta.

Katanya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara sudah dibuka sejak 15 Jun lalu manakala tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan petugas media, ditutup pada 26 Julai ini.

Bagi kategori 1B pula iaitu membabitkan warga Malaysia di luar negara, tarikh tutup permohonan adalah pada 8 Julai ini manakala kategori 1C iaitu agensi dan organisasi adalah pada 11 Julai ini.

“Permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya dibuka sejak 15 Jun lalu dan akan ditutup pada 7 Julai ini dengan permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui emel.

“SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses bermula hari penamaan sehingga hari keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, SPR turut meminta bakal calon supaya mengisi dan membuat semakan awal borang dengan pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan calon selain digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

Sebelum ini, Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lalu, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada Sabtu lalu (1 Julai).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *