Armizan
Armizan (tengah) ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan 17 daripada 21 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan seperti yang didakwa oleh pemimpin dari Parti Warisan (WARISAN), baru-baru ini.

Beliau turut menolak dakwaan pemimpin tersebut dimana 17 isu itu telah diselesaikan semasa WARISAN menerajui kerajaan negeri.

Baru-baru ini, tular satu siaran sesi bicara secara langsung di antara Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Azis Jamman dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis di laman media sosial Facebook.

Sesi bicara terbabit mendakwa Armizan menyatakan 17 perkara dalam MA63 telah selesai semasa sidang Parlimen.

“Pertama, jangan tanya saya, tanya WARISAN apa yang selesai. Apa yang dimaksudkan 17 perkara itu sudah selesai dan 17 perkara itu selepas pada masa bila?

“Tiga soalan ini perlu ditanya kepada WARISAN sendiri kerana setakat ini, sebagai urus setia MA63, tidak sampai 17 perkara yang sudah selesai. Jadi saya tidak tahu dari mana WARISAN boleh menyebut bahawa 17 perkara itu selesai.

“Jadi saya menafikan 17 perkara itu sudah selesai. Saya juga terpaksa menafikan bahawa WARISAN telah menyelesaikan 17 daripada isu berbangkit tentang MA63 ini.

“Saya perlu tanya juga kepada WARISAN apa definisi selesai bagi mereka, sama ada selesai itu bagi mereka sudah selesai dibangkitkan, selesai selepas ada persetujuan atau sudah diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Penyelarasan Operasi dan Pengurusan Bencana Negeri Sabah bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Armizan berkata beliau berpendapat konteks menyelesaikan 17 perkara dalam MA63 dan dilaksanakan adalah lebih bermakna berbanding mengatakan telah selesai tanpa sebarang tindakan pelaksanaan.

“Bila sebut selesai dibangkitkan, tidak payah tunggu WARISAN. Pemimpin Sabah sebelum WARISAN wujud sudah membangkitkan tentang MA63.

“Saya minta WARISAN agar buat siaran langsung atau podcast dimana dalam jawapan bertulis saya di Parlimen ada menyebut 17 perkara itu selesai.

“Harus maklum juga jawapan saya itu merujuk kepada soalan Ahli Parlimen Semporna ( Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang menyebut isu yang dibangkitkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) MA63.

“JKK MA63 ini adalah tempoh tahun 2018 sehingga 2019. Soalan merujuk kepada itu jadi kita jawab kepada keputusan jawatan kuasa khas MA63 bukannya kepada majlis tindakan yang ada sekarang,” katanya.

Armizan juga berkata sebagai pemimpin Sabah, beliau kecewa apabila mengetahui terdapat beberapa perkara dalam JKK MA63 semasa pemerintahan PH-WARISAN yang telah diputuskan untuk digugurkan, yang baginya tidak sepatutnya digugurkan.

“Antaranya ialah isu pengurusan dan pentadbiran badan kehakiman Sarawak dan Sabah. WARISAN melalui JKK MA63, bersetuju menggugurkan isu tersebut.

“Tetapi kami, dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) membawa kembali isu itu kerana salah satu tuntutan kami ialah bidang kuasa ketua hakim Sabah dan Sarawak.

“Kedua, JKKMA63 semasa PH-Warisan bersetuju untuk menggugurkan isu pelantikan pesuruhjaya kehakiman.

“Bagi saya, itu satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak. Kita mahu, seperti sebelum ini, pelantikan suruhanjaya kehakiman perlu diperkasakan melalui suara Yang di- Pertua Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Armizan turut mengambil contoh isu elektrik dan gas serta semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mengenai jumlah tuntutan pemberian khas negeri Sabah dan Sarawak yang telah selesai sebahagiannya.

“Ini definisi selesai. Bincang, putuskan dan laksanakan yang bagi saya lebih bermakna. Tidak adil WARISAN menyatakan ia telah selesai tapi diselesaikan semasa pentadbiran sekarang. Jadi mereka kira mereka yang selesaikannya? Adakah itu adil?

“Saya sendiri tidak cakap saya selesaikannya selaku urus setia yang jaga MA63 diperingkat Persekutuan. Ini kerana bagi saya, ini tanggungjawab semua. Semua memainkan peranan sehingga perkara ini diselesaikan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *