Jpns
Semua peserta dan urusetia sempat merakamkan gambar kenangan selepas kejohanan tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kejohanan Merentas Desa membuktikan murid berkeperluan khas mampu bersaing dengan murid perdana yang lain.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mohd Zaini Yanin berkata, melalui kejohanan ini bakat dan keyakinan diri anak-anak istimewa dapat diserlahkan dengan bimbingan serta tunjuk ajar guru-guru mahupun ibu bapa.

“Hal ini sekaligus menjadi motivasi dan suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran di samping memperolehi pengalaman baharu.

“Warga pendidik juga harus bekerjasama, berpadu tenaga dalam melonjakkan lagi prestasi dan kecemerlangan murid-murid Berkeperluan Pendidikan Khas selaras misi serta visi Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Manakala kepada ibu bapa, teruskan galakan, sokongan dan penuhi hasrat mereka dengan kasih sayang serta bimbinglah anak-anak dengan setulus harapan,” katanya semasa Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023, pada Isnin.

Kejohanan anjuran Sektor Pendidikan Khas (SPK), JPNS, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu ,UMS dan Persatuan Guru Pendidikan Khas Negeri Sabah itu disertai 217 peserta daripada 24 daerah seluruh Sabah termasuk dari Zon Pendengaran serta Zon Penglihatan.

Pemenang merentas desa kategori bawah 12 tahun perempuan, Rindynella Denus (Kota Belud) mencatat masa 17.11 saat, manakala kategori lelaki diraih Rayyan Joy Raynel (Kota Kinabalu) dengan rekod 18.51 saat.

Sementara itu, tempat pertama kategori bawah 15 tahun perempuan diraih Jessycilyn Jaimis (Papar) dengan catatan 22.25 saat dan Roel Maccyilson Roland (Penampang) memenangi kategori lelaki dengan masa 20.52 saat.

Bagi kategori bawah 19 tahun perempuan pula diungguli Mercany Mizan (Pensiangan) dengan catatan 31.07 saat dan kategori lelaki pula diraih Danny Hadid (Ranau) dengan masa 29.36 saat.

Juara keseluruhan dirangkul oleh daerah Pensiangan dengan kutipan markah sebanyak 57 mata, Ranau di tempat kedua dengan 39 mata dan Zon Pendengaran memenangi tempat ketiga.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Suhaimi Matshah, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan khas, Piluh@Mathilda Osong, Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ahmad Nurdin dan Pengarah Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya (OKU) UMS, Dr Zaiton Mohamad. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *