Peter
Peter menunjukkan laporan polis yang dibuat.

KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony mahu kes pemalsuan dokumen beliau dibicara semula selepas mendakwa mendapati kenyataan saksi utama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disunting salah seorang pegawai.

Menyifatkannya sebagai “konspirasi politik mengaibkan” dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi beliau pada tahun 2020, Peter berkata penemuan laporan polis yang dibuat pada Julai 2018 itu dibuat beberapa hari lalu dalam satu pautan yang tular.

“Jika saya tahu lebih awal ia mungkin mengubah keputusan. Saya bukan hakim, tetapi jika kami memasukkan ini dalam afidavit, sudah tentu kredibiliti saksi boleh dicabar.

“Dia boleh mengaku di mahkamah bahawa kenyataannya dipaksa dan diperbesar-besarkan,” katanya.

Beliau merujuk kepada Mohd Shukur Mohd Din yang merupakan orang tengah antara program latihan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan salah sebuah syarikat mekanikal milik Peter.

Peter mendakwa beliau tidak tahu tentang laporan polis tersebut yang akhirnya bertukar menjadi “perangkap politik” tetapi “kebenaran akhirnya terbongkar sendiri”.

“Saya telah bersumpah di mahkamah bahawa saya tidak pernah memalsukan dokumen itu. Jadi saya telah membuat laporan polis di balai Penampang hari ini supaya pihak berkuasa boleh menyiasat kesahihannya.

“Jika benar, Peguam Negara boleh menolak semua sabitan yang dikenakan ke atas saya berdasarkan laporan Shukur. Kami mahukan keadilan untuk semua pihak.

“Perkara itu akan dikendalikan oleh peguam saya di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut di peringkat mahkamah rayuan negeri,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Shukur mendakwa perenggan akhir kenyataannya disunting atas motivasi politik dengan cuba mengimplikasi Peter sebagai berhasrat untuk menggunakan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam mengelirukan dan menipu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memperoleh projek berkenaan.

Peter, 52, yang merupakan bekas Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, disabitkan kesalahan makhamah kerana memalsukan surat daripada pejabat Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *