Ums
Mohammad Saffree merakamkan gambar bersama para AJK Pelaksana Program Ladies Care Corner serta wakil pelajar dari pelbagai persatuan ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program Ladies Care Corner baru-baru ini sebagai usaha untuk meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai kesihatan wanita dalam kalangan pelajar UMS.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree, program tersebut dianjurkan susulan daripada usaha menyahut cabaran pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah pimpinan Dr Zaliha Mustafa dalam menangani isu kemiskinan haid.

“Pihak penganjur berhasrat untuk menjayakan dan menyokong penuh inisiatif ini bermula dari peringkat akar umbi di kampus UMS bagi meningkatkan kesedaran pelajar wanita terhadap isu ini.

“Selain meningkatkan literasi dan kesedaran mengenai kesihatan wanita dalam kalangan pelajar, program ini juga bertujuan membentuk jaringan masyarakat antara universiti dan masyarakat sejagat dengan membantu meningkatkan literasi kemiskinan haid,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor menyempurnakan pelancaran program tersebut di Perpustakaan UMS.

Selain program kesedaran, turut diadakan sempena Ladies Care Corner adalah sesi pengagihan tuala wanita percuma di semua kolej kediaman induk UMS serta meletakkan beberapa fasiliti pad distributor yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti Perpustakaan UMS serta sekitar Dewan Kuliah Pusat (DKP) UMS.

“Program yang berlangsung selama hampir sebulan ini melibatkan tiga siri yang mana setiap siri membawa tema serta keunikan yang tersendiri.

“Siri satu dijalankan secara dalam talian yang menampilkan penceramah-penceramah yang merupakan figura terkemuka dalam bidang masing-masing, manakala Siri 2 pula memfokuskan kepada pengagihan tuala wanita di semua kolej kediaman serta penyediaan fasiliti pad distributor di beberapa lokasi strategik.

“Siri 3 pula lebih fokus kepada usaha dalam menonjolkan potensi dalam bidang keusahawanan melalui Mandak Festival,” katanya.

Beliau turut berharap agar mesej yang disampaikan melalui penganjuran program tersebut menjadi satu lonjakan kepada lebih banyak gerakan untuk menangani isu tersebut yang serius dan harus ditangani demi kelestarian serta kemajuan modal insan.

Hadir sama pada pelancaran program tersebut Setiausaha Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA), Jecelyn Leaslie John; Naib Presiden III (Pembangunan Insaniah dan Hal Ehwal Islam) Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Mohd Gadaffi Imran; wakil daripada Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS) serta wakil daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman USIA 1 Borneo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *