Sesb
Arifin (tengah) menyaksikan penyampaian sumbangan RM3,000 oleh Mohd Yaacob (dua dari kanan) kepada Pengerusi Surau Darul Dakwah Islamiah Membakut, Ali Ajak Bunglah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Sempena sambutan Aidiladha, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyerahkan sumbangan RM32,000 kepada umat Islam di daerah ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif, jumlah tersebut termasuk pelaksanaan ibadah korban serta wakalah zakat kepada golongan yang layak.

“Sempena sambutan Aidiladha di kawasan ini SESB memberikan beberapa jenis sumbangan termasuk sumbangan kepada asnaf, surau-surau dan mangsa kebakaran di Kampung Pimping baru-baru ini.

“Saya yakin dengan adanya sedikit sebanyak bantuan santunan dan sentuhan daripada SESB ini boleh dijadikan wadah untuk bersilaturahim kerana selain daripada bantuan SESB juga membuat korban.

“Ini salah satu wadah untuk mendekati rakyat serta boleh bersilaturahim dan melihat manfaatnya, saya harap program ini akan dijadikan program yang berterusan walaupun dalam aktiviti yang berbeza.

“Saya yakin SESB akan dapat melaksanakan tugas mereka dalam kebajikan CSR di samping memberikan penjelasan berhubung dengan peranan SESB di Sabah,” kataya kepada pemberita dalam Majlis Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1444H di sini, semalam.

Pada majlis itu, Arifin yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaacob Jaafar serta Pegawai Daerah, Ibrahim Terki menyampaikan wakalah zakat kepada 30 asnaf dan 13 mangsa kebakaran yang masing-masing menerima RM300.

Arifin turut menyaksikan agihan daging korban kepada golongan yang layak, di samping penyampaian sumbangan RM12,000 oleh Mohd Yaacob kepada empat buah surau di sekitar Membakut iaitu Surau Darul Dakwah Islamiah, Surau Al-Halim Munawarah, Surau At-Taha Binsuluk dan Surau Darul Ulum Newaliu Bambangan.

Sementara itu, Mohd Yaacob ketika ditemui berkata pada tahun ini, SESB melaksanakan ibadah korban dengan empat ekor lembu masing-masing dilaksanakan di Putatan, Bongawan, Lok Kawi dan Membakut.

Terdahulu, Arifin melancarkan Skuad Gagasan Membakut (SGM) yang bertujuan menyantuni masyarakat di kawasan masing-masing dalam aspek kebajikan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya.

SGM ditubuhkan di setiap Pusat Daerah Mengundi di seluruh Membakut dengan kerjasama ahli-ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *