DAGESTAN – Tindakan tidak menghormati dan merosakkan kitab suci al-Quran adalah satu jenayah di Rusia.
Tegas Presiden Rusia Vladimir Putin, perbuatan tersebut adalah satu jenayah dan boleh dihukum di bawah konstitusi dan Artikel 282 Kod Jenayah di negara itu.
“Kita tahu negara lain mempunyai pendapat berbeza, mereka tidak menghormati perasaan agamawan, selain mengganggap ia bukan satu jenayah. Kitab ini (al-Quran) suci buat umat Islam dan seharusnya suci buat semua,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Masjid Juma, Derbent, di Republik Autonomi Dagestan sempena Hari Raya Aidiladha.
Kenyataan Putin itu dibuat susulan tindakan ekstremis membakar naskhah kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Rabu semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.
Lelaki itu ditahan pihak polis kerana didakwa “memprovokasi kumpulan etnik” selepas melakukan tindakan itu.