Ydpa
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di tanah suci ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook Istana Negara )

KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata mereka telah berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan anakanda Seri Paduka Baginda yang lain.

“Seri Paduka Baginda berdua akan seterusnya menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji di Masjidil Haram pada hari ini bersamaan 10 Zulhijjah 1444H.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dikurniakan keafiatan untuk berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir haji.

“Seri Paduka Baginda berdua berdoa agar segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara diberi ganjaran setimpal oleh Allah S.W.T dan semoga jemaah haji Malaysia memperolehi haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air,” katanya.

Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Julai 2023.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *