Zulkarnain
Zulkarnain (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat ( Sumber Foto: Ihsan G57)

KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) atas tuduhan fitnah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar ketika ditemui media berkata laporan terbabit dilakukan susulan segelintir pemimpin dan ahli WARISAN menyunting dan memuat naik video Hajiji menangis dengan menokok ayat kata-kata kesat tertulis “dah tua pun bodoh’ termasuk perkataan ‘air mata munafik penuh dengan kepuraan’.

Zulkarnain
Zulkarnain ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di IPD KK ( Sumber Foto: Ihsan G57 )

Video terbabit dimuat naik ketika Hajiji secara spontan telah menangis semasa berucap merasmikan Wisma Parti USNO di Donggongon Avenue Jalan Penampang pada 25 Jun lepas.

Zulkarnain
Laporan polis yang dilakukan G57 terhadap beberapa pemimpin dan ahli Parti WARISAN ( Sumber Foto: Ihsan G57 )

Beliau yang mengenang kembali perjuangan bersama parti USNO pada awal penglibatannya dalam politik, menceritakan pengalamannya ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman sewaktu Pilihan Raya pada tahun 1990.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata pihaknya juga menyifatkan pautan video yang dimuat naik sehingga tular di laman media sosial itu adalah bersifat keterlaluan apabila Hajiji turut dituduh sengaja menipu dalam sesi ucapan itu.

“Perbuatan ini adalah jelas cubaan mengaibkan yang sangat jijik dan tidak boleh diterima.

“Pembangkang di Sabah ketika ini tahu Sabah berada di landasan yang betul di bawah pimpinan Hajiji.

“Sebagai contoh syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) Korea Selatan, SK Nexilis telah melabur sebanyak RM2.3 bilion yang akan berpangkalan di Kompleks Industri KKIP.

“Kilang yang kini dalam pembinaan itu telah menawarkan pekerjaan kepada hampir 2,000 rakyat Sabah,” katanya.

Disamping itu, Zulkarnain juga berkata rekod menunjukkan pelaburan luar ke Sabah pada tahun 2022 berjumlah RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi dan trend ini masih terus berjalan pada tahun 2023.

“Sebaliknya sepanjang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menjawat jawatan Ketua Menteri, tidak ada satu pun pelabur asing yang berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Malah, kadar Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sabah sebelum Shafie mengambil alih jawatan Ketua Menteri berada pada 8.2 peratus telah jatuh menjunam ke paras terendah 0.5 peratus.

“Mungkin atas faktor keupayaan Hajiji mentadbir Sabah, fitnah dan rekyasa jahat telah dibuat ke atas Hajiji.

“Justeru G57 meminta agar pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas dan dapat mengheret pimpinan dan ahli parti WARISAN ke muka pengadilan agar budaya fitnah ini dapat dihentikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *