Rafizi
Rafizi (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Shahelmy (tengah) sambil disaksikan Jasmine (kiri) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Langkah kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa mengurus projek pembangunan bawah RM50 juta disambut baik oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah turut menyambut baik keputusan kerajaan persekutuan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai Jabatan Teknik dibawah Arahan Perbendaharaan (AP182).

“Saya yakin keputusan kerajaan persekutuan ini tidak hanya mengurangkan kerenah birokrasi, malah dapat mempercepat serta merancakkan lagi pembangunan di negeri Sabah bagi memenuhi keperluan kemudahan dan infrastruktur asas seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

“Justeru, saya menyeru semua pihak khususnya kementerian, jabatan dan agensi negeri memanfaatkan mandat yang telah diberikan kepada kerajaan negeri untuk memastikan program-program pembangunan dirancang serta dilaksana dengan bermatlamatkan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin dengan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang padu, pembangunan negeri dalam pelbagai sektor dapat dipacu ke tahap yang lebih tinggi seterusnya memberikan limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat di semua peringkat,” katanya semasa Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah di sini, pada Selasa.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada kerajaan persekutuan bagi menjayakan pelaksanaan RMKe-12.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmy Yahya yang juga Menteri Kerja Raya.

Beliau turut memaklumkan beberapa langkah diambil bagi mengatasi isu-isu yang menghalang pencapaian pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini antaranya, memperkasakan pemantauan secara berterusan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

“Kerajaan negeri juga berharap agar peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan dapat disalurkan ke satu akaun amanah yang akan dipantau oleh kerajaan negeri. 

“Cadangan ini adalah bagi memastikan peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan bagi tujuan pembangunan negeri ini dapat dibelanjakan sepenuhnya dan tidak luput sekiranya tidak dibelanjakan pada tahun semasa berikutan isu-isu pelaksanaan yang tidak dapat dielakkan”, tegasnya.

Hadir sama, Menteri Ekonomi Malaysia, Mohd Rafizi Ramli, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar,  Datuk Masiung Banah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Datuk Jasmine Teo. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *