Limbai
Charletta dinobatkan Penari Perempuan Terbaik Sekolah Menengah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Likas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dinobatkan pemenang Seni Warisan Juara Limbai.

Masing-masing merangkul RM 7,000, trofi dan sijil penyertaan setelah muncul juara kategori sekolah rendah dan menengah.

Bagi kategori menengah, naib johan disandang oleh SM Maktab Sabah dan ketiga SMK Kolombong.

Naib juara membawa pulang RM5,000 berserta trofi dan sijil penyertaan, manakala kempat ketiga menerima RM3,000, berserta trofi dan sijil penyertaan.

Bagi sekolah rendah pula, tempat kedua dimenangi oleh SK Pekan Kota Belud disusuli SJK (St) James di tangga ketiga.

Sementara itu, Anugerah Penari Terbaik Lelaki dan Penari Terbaik Perempuan masing-masing menerima wang tunai RM500 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Kategori sekolah rendah, penari terbaik dimenangi penari cilik SK Sembulan, Mohd Mazidul Abdullah dan Safiah Safirah (SK Pekan Kota Belud).

Manakala pelajar SMK Maktab Sabah, Mohd Aszuwairy Hifziq dan Charletta Toiloh (SMK Kolombong) menerima anugerah sama bagi kategori menengah.

Tarian Limbai dari etnik Bajau Sama dipersembahkan simbolik menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan sebagai tanda jemputan pernikahan.

Pertandingan peringkat saringan menyaksikan pertembungan 14 kumpulan penari bersaing dalam kategori sekolah rendah dan menengah namun hanya enam kumpulan berentap di peringkat akhir.

Setiap kumpulan akan mempersembahkan dua tarian iaitu Limbai Tradisi dengan iringan pemuzik tradisional secara langsung dan tarian kedua secara gabungan (undian sekolah rendah dan menengah) menarikan Limbai Kreatif dengan iringan muzik minus-one.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Dr. Mohd Arifin Arif. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *