Arifin
Arifin (tengah) bergambar kenangan bersama para peserta Kejohanan Petanque Terbuka Membakut 2023 Mixed Triple ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Daerah Membakut akan menjadikan kejohanan petanque sebagai acara tahunan anjurannya mulai tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pejabat Daerah Membakut dan Persatuan Petanque Membakut akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelaras dan melaksanakan penganjuran tersebut sekaligus menetapkan Dataran Tamu Pekan Membakut sebagai vanue kejohanan dengan gelanggang berbumbung yang pertama di Sabah.

“Saya harap Pejabat Daerah akan bersama-sama Persatuan Petanque Membakut menjadikan kejohanan ini sebagai kejohanan tahunan.

“Justeru, saya juga akan berbincang dengan Majlis Daerah untuk menjadikan Dataran Tamu ini gunasama asalkan tidak mengganggu tamu yang diadakan sekali dalam seminggu di Pekan Membakut.

“Persatuan boleh menggunakan dataran ini sebagai gelanggang tetap, yang penting aspek kebersihan di sekitar kawasan ini mestilah dijaga kerana kawasan Pekan Membakut menjadi tumpuan para pelancong,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Petanque Terbuka Membakut 2023 Mixed Triple.

Sementara itu, Presiden Persatuan Petanque Membakut, Cindy Richard @Norain Abdullah yang ditemui memaklumkan kejohanan tiga hari mulai semalam itu disertai 95 pasukan melibatkan 288 peserta dan 56 pengurus pasukan yang menghantar penyertaan dari seluruh Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam.

“Kejohanan ini telah mampu mengumpulkan pemain-pemain tegar sukan petanque yang bukan semata-mata bermain dengan menggunakan tiga biji bola besi malah menjadikan sukan ini sebagai medium mengeratkan silaturahim,” ujarnya.

Untuk rekod, antara pencapaian membanggakan sukan petanque di negeri ini ialah tiga atlet Sabah mewakili Malaysia telah memenangi pingat gangsa dalam Sukan Sea Kemboja Mei lalu, selain jurulatih kebangsaaan remaja Malaysia iaitu Asean level berasal dari Sabah.

Ibarat “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” begitulah bermulanya minat peserta termuda, Mohamad Qhalish Qadri Mohd Qayyim Irfan, 9, yang berkongsi hobi dengan seluruh ahli keluarganya.

Qhalish yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Putatan merupakan anak kepada satu-satunya atlet petanque Sabah ke yang mewakili Sabah ke 19th ASEAN University Games (AUG) 2018 di Myanmar, Mohd Qayyim Irfan Mazlan.

Pada kejohanan siang tadi, Qhalish ditemani datuk, Mazlan Musa dan nenek, Hazalenah Diasin masing-masing atlet petanque MAKSAK Sabah dan atlet petanque Sabah ke peringkat ASEAN. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *