Kkm
Dr. Asits (kiri), Lukanisman (tengah) menunjukkan tanda bagus ketika melancarkan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Kebangsaan 2023 di Padang Merdeka Kota Kinabalu sambil disaksikan Tan (dua dari kanan) dan Dr. Norhayati (kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) negara semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, melalui laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan 5.1 juta orang berisiko mempunyai dua atau tiga risiko utama penyakit.

“Penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung menjadi penyumbang utama kematian di Malaysia antaranya angin ahmar dan penyakit jantung koronari.

“Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian setiap tahun di negara ini adalah akibat tabiat merokok setiap tahun.

“Prevalen perokok dalam golongan dewasa merupakan 21.3 peratus daripada populasi dengan anggaran 4.8 juta perokok.

“Penyakit NCD sebenarnya boleh dicegah melalui pembudayaan hidup sihat antaranya dengan tidak mengamalkan tabiat merokok,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Kebangsaan 2023 di Padang Merdeka, pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Jelas Zaleha, kementeriannya turut memberikan perhatian kepada peningkatan trend penggunaan rokok elektronik dan vape dengan prevalen sebanyak 4.9 peratus bersamaan dengan 1.13 juta pengguna dalam kalangan dewasa.

“Malah, Tinjauan Kesihatan Remaja melibatkan golongan muda berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan pengguna peranti merokok elektronik daripada 211,084 orang pada tahun 2017 kepada 301,109 orang pada tahun 2022.

“Data ini belum mengambil kira penggunaan rokok konvensional yang melibatkan kumpulan remaja iaitu seramai 186,817 orang pada tahun 2022,” jelasnya.

Tambah beliau, menyedari bahawa tabiat merokok khususnya penggunaan rokok elektronik dan vape yang semakin meningkat, KKM telah berusaha membawa Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ke Parlimen.

“Adalah diharapkan melalui langkah perundangan yang dilakukan ini akan melahirkan generasi muda Malaysia yang bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok yang dikenali sebagai Generasi Penamat Rokok melibatkan golongan remaja yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya,” katanya lagi.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Tan Lee Fatt, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Sr Lee Chun Khiong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr. Norhayati Rusli serta Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *