Hajiji
Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Sains kepada Prof.Ir.Dr Rosalam@ Roslee Sarbatly pada Majlis Anugerah Sains Sabah(MASS) 2023 bertempat Di Grand Ballroom, Hotel Shangri-la, Tanjung Aru ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Satu pelan tindakan bersepadu perlu diambil bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil aliran Sains menjelang 2025 di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu Ketua Menteri mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
bersama Jabatan Pendidikan Sabah serta agensi yang berkaitan menghasilkan pelan
tindakan berkenaan.

“Ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini membimbangkan.

“Kita mahu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

“Kadar penglibatan pelajar dalam hidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus, masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran Sains dan 40 aliran Sastera atau 60:40.

“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat
melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya
40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.

“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik
STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagi program lonjakan STEM yang melibatkan
guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama
negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi
dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri dan negara.

“Oleh itu, sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Hajiji yang menyokong penuh penganjuran MASS itu berkata ia adalah sebagai
pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan para saintis, teknologis dan inovator tempatan dalam memperkasakan dan mempromosikan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya di Sabah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *