KOTA KINABALU, SABAH – Wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat Wisma Muis dan rumah tiga tingkat di Sembulan bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib.
Ketua pasukan serbuan nombor lapan, Hishammudin Mohammed Esa, 49, memberitahu Mahkamah Sesyen sini wang lebih RM23 juta ditemui semasa serbuan di pejabat Ag Tahir pada 4 Oktober 2016.
“RM62,500 ditemui dalam beg bertanda ‘Tahir’ di meja Ag Tahir. Wang tunai selebihnya ditemui di tiga lokasi lain di dalam bilik pantri di belakang meja Ag Tahir.
“Di sofa dengan tiga tempat duduk, kabinet TV serta kabinet kayu,” katanya sebagai saksi pendakwaan ke-40 di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dalam perbicaraan skandal rasuah terbesar di Sabah.
Beliau turut berkata bahawa setiap bungkusan wang antara RM50,000 dan RM100,000 dan hanya Ag Tahir yang mempunyai akses ke bilik pantri di pejabatnya.
Bilik pantri itu adalah bilik dengan papan tanda “Go Away” di pintunya di mana timbunan wang tunai ditemui dan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lebih RM21 juta ditemui ketika pasukannya menyerbu rumah Ag Tahir di Sembulan.
Beliau berkata lebih RM8 juta ditemui dalam sebuah bilik di tingkat tiga rumah itu selain 86 jam tangan berjenama dan mewah serta 921 barang kemas.
“Wang tunai RM9 juta dan RM4 juta masing-masing ditemui dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz yang dimasukkan ke dalam beberapa beg yang disimpan di dalam bonet kereta.
“Ketika itu kereta diparkir tidak jauh dari pagar rumah yang diletakkan di luar pagar rumah,” katanya.