Maritim
Petugas keselamatan mengusung mayat mangsa di Jeti Feri Labuan ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

LABUAN – Mayat seorang kru kapal tunda yang disyaki jatuh laut ketika kapal sedang bersauh di perairan Pulau Papan telah ditemui pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sekitar jam 9.40 malam.

“Mangsa, Kenneth Anak Saing, 33 tahun, yang bekerja diatas kapal tunda tempatan, Tanjung Biru 1 dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakan mangsa. Kali terakhir mangsa dilihat adalah pada jam enam petang hari yang sama.

“Kesemua barang peribadi mangsa masih lagi berada di atas kapal. Kapal dikatakan sedang bersauh sebelum meneruskan perlayaran menuju ke Miri Sarawak,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sejurus operasi CARILAMAT diaktifkan, bot peronda Maritim Malaysia telah diaturgerak ke lokasi kejadian bagi membuat pengesahan dan melakukan pencarian awal mangsa.

“Operasi turut melibatkan bantuan asset dan anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mayat mangsa berjaya ditemui sekitar jam 7.45 pagi tadi oleh pasukan mencari di kedudukan sekitar 20 meter selatan Jeti Feri Labuan.

“Mayat telah diserahkan kepada Unit Forensik PDRM untuk siasatan lanjut dan Op CARILAMAT ditamatkan pada jam 8.35 pagi,” tambah Nudin.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *