Dbkk
Poster Festival Kebudayaan & Makanan Tradisional India “Transformasi Premis Makanan India” ( Sumber Foto: Ihsan DBKK )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) akan menganjurkan Festival Kebudayaan & Makanan Tradisional India “Transformasi Premis Makanan India” pada 24 Jun 2023 (Sabtu) bermula jam 12.00 tengah hari hingga 10.30 malam bertempat di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.

Ketua Pengarah DBKK Kota Kinabalu Junainah Abbie berkata festival ini yang julung kali diadakan di Lintasan Deasoka direalisasikan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis makanan India dan memastikan makanan yang disediakan dan dijual selamat untuk dimakan oleh orang awam.

“Di samping itu, festival ini juga bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap premis makanan India itu sendiri.

“Secara tidak langsung, festival sebegini membantu meningkatkan kesedaran pengusaha premis makanan India mengenai pengendalian makanan yang betul, kebersihan diri dan tandas,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beberapa aktiviti disusun sebagai pengisian program pada hari tersebut seperti Pameran Kesihatan Persekitaran dan Transformasi Premis Makanan India, Gerai Jualan Makanan Tradisional India, Persembahan Kebudayaan dan Nyanyian.

“Bagi menggalakkan penglibatan orang awam, pertandingan seperti menebar roti canai, menarik teh dan aksi memotong bawang turut diadakan.

“Orang ramai dijemput hadir untuk merancakkan penganjuran festival ini dan menjadikan ianya momen yang bermakna kepada semua warga bandaraya Kota Kinabalu,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *