Kemalangan
Mangsa di lokasi kejadian ( Sumber Foto: Ihsan IPD KK )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pelajar perempuan disahkan meninggal dunia di Hospital Likas sini sehari selepas motosikal yang ditunggang sepupunya hilang kawalan lalu terbabas berhampiran Kampung Lokub di Jalan Sepanggar pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata mangsa, berusia 17 tahun dan sepupunya, 18, dalam perjalanan dari Menggatal dalam perjalanan menuju ke Sepanggar menaiki sebuah Yamaha LC.

“Ketika insiden kira-kira jam lebih kurang 6.20 itu, cuaca hujan renyai-renyai dan keadaan jalan raya basah. Motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa terbaring di bahu kiri jalan dalam keadaan separa sedar dan berlumuran darah. Mereka kemudiannya dibawa oleh ambulan dan pihak bomba ke Hospital Likas untuk rawatan selanjutnya.

“Hari ini pada lebih kurang 12.36 tengah malam, mangsa pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Likas manakala sepupunya dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada jam lebih kurang jam 6.29 pagi,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Zaidi berkata mangsa akan dibawa ke Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca kematian setelah keputusan PCR diperolehi.

“Mangsa tidak disyaki mabuk. Namun, sampel darah akan diambil untuk analisis alkohol dan dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian penunggang motosikal.

“Kes disiasat dibawah Kaedah 10 LN166/59 direklasifikan semula di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *