Lans
Tangkap layar video pegawai polis wanita yang dirakam dalam video menghina anggota bawahan dengan panggilan kesat sehingga tular di laman media sosial ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

KUALA LUMPUR – Pegawai polis wanita yang dirakam dalam video menghina anggota bawahan dengan panggilan kesat sehingga tular di laman media sosial, baru-baru ini telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.

Memetik sumber Berita Harian, wanita berpangkat inspektor itu ditahan ketika hadir di IPD berkenaan untuk dirakam percakapannya berkait siasatan berdasarkan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika dihubungi berkata pegawai terbabit dipanggil untuk pertama kali berkenaan insiden pertengkaran dengan dua anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu dan hari ini, sekali lagi dia hadir di IPD sama.

Beliau memaklumkan, pegawai berkenaan disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan kesat aib atau menghina.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi klip video tersebar membabitkan pegawai polis sama yang bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.

Susulan kejadian dipercayai sekitar jam 5.30 petang kelmarin itu, seorang wanita membuat laporan di IPD Brickfields.

Antaranya ialah mendakwa pegawai berkenaan memarahinya dan keluarga selain turut menuding jari ke arah kepalanya.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *