SHAH ALAM, SELANGOR – Layanan istimewa yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Penjara Kajang dikecam.
Memetik laporan Malaysia Kini, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata ianyan adalah satu penghinaan terhadap prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Turut diberikan layanan istimewa ialah tetamu Najib iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika mereka melawat beliau baru-baru ini.
“Peruntukan sedemikian kepada Najib dan tahanan VIP lain hampir tidak pernah didengar.
“Kerajaan yang diamanahkan bagi menegakkan Perlembagaan mesti menjawab bagaimana perkara tersebut boleh dibenarkan,” katanya.
Zahid semasa ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu bekata beliau dan Shamsul membawa makanan kegemaran Najib dan sempat bersarapan bersama selama setengah jam.
Selepas itu beliau berkata sempat meluangkan masa 90 minit lagi bersendirian dengan Najib.
Zahid turut berkata, tahanan dan banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya atau pembebasan sementara ihsan apabila kehilangan orang tersayang.
Katanya layanan terhadap tahanan dan banduan lain bersifat “keji” dan “hampir tidak berperikemanusiaan”.
Justeru, Zahid menggesa Putrajaya supaya membenarkan lawatan oleh rakan dan ahli keluarga banduan serta tahanan lain seperti diberikan kepada Najib.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali turut mempersoal lawatan itu.
“Bagaimana pertemuan itu diluluskan? Bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?” soalnya.
Muhammad Rafique berkata, pertemuan dalam penjara dengan banduan atau tahanan lazimnya terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa.
“Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian semasa perayaan? Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang?” ujarnya.