Hajiji
Hajiji menyampaikan watikah kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2023/2025 di Resort Rasa Ria Shangri-La ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Tindakan akan diambil terhadap mana-mana ketua jabatan yang didapati menghalang usaha kerajaan negeri untuk membawa masuk pelabur ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata terdapat keadaan di mana ketua jabatan didapati mengenakan peraturan mereka sendiri untuk pelabur yang berminat untuk melabur di Sabah.

“Dengan berbuat demikian, mereka telah menghantar isyarat yang salah kepada pelabur ini yang kemudiannya menjauhkan diri daripada mengejar kepentingan pelaburan di negeri ini.

“Saya sedang memerhati dan jika ini berlaku, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Berucap pada Majlis Angkat sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 19 Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2023/2025 di Resort Rasa Ria Shangri-La di sini hari ini, Hajiji berkata peranan ketua jabatan adalah untuk memudahkan pelaburan.

“Jika semuanya teratur, tidak perlu menyusahkan pelabur,” katanya sambil menambah kerajaan negeri hari ini adalah mesra pelabur.

“Kita mahu mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat, sebab itu kami membawa lebih banyak lagi pelabur ke Sabah.

“Dalam tempoh dua tahun lepas, jumlah pelaburan yang diterima oleh Sabah telah berjumlah lebih RM30 bilion,” katanya.

Beliau berkata yang terbaru ialah Esteel Group yang berpangkalan di Singapura membawa masuk jumlah pelaburan sebanyak AS2 (RM 9.24) bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Ia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita tetapi juga mewujudkan ‘spin-off’ ekonomi yang besar,” katanya.

Pelaburan Esteel akan menghasilkan HBI (Hot Briquette Iron) & keluli rata di SOGIP untuk Fasa 1, diikuti dengan pelaburan berbilion dolar untuk menghasilkan produk keluli hijau dalam fasa seterusnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri menggesa semua ahli majlis daerah memainkan peranan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka ke tahap yang terbaik.

“Peranan ahli majlis sebagai sebahagian daripada kerajaan tempatan adalah penting, khususnya dalam memastikan pembangunan di kawasan masing-masing dilakukan dengan baik dan sistematik.

“Jangan leka. Pantau perkembangan di kawasan anda dengan baik untuk mengelakkan ia menjadi pembangunan ‘rojak’ (serampangan),” katanya.

Hajiji  dalam pada itu turut menggesa semua ahli majlis dan pengurusan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) supaya peka dan proaktif dalam melaksanakan dasar kerajaan selain mampu berfikir di luar kotak.

“Pastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan dalam urusan mereka dengan
kerajaan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Setiausaha KKTP, Datuk Dr Jamili Nais dan Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *