Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ( Sumber Foto: Gambar Google )

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 16 kes berprofil tinggi digugurkan oleh Peguam Negara sejak 2018 sehingga kini di bawah Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Memetik sumber Berita Harian, oeruntukan itu menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi budi bicara kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Beliau berkata daripada 16 kes itu, mahkamah memerintahkan 13 kes dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dan tiga kes lagi dilepas tanpa dibebaskan di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (Discharge Not Amounting to An Acquittal – DNAA).

“Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan kes berprofil tinggi tersebut setelah menimbangkan, antara lain, perkembangan baharu sesuatu kes, representasi yang dikemukakan peguam bela tertuduh, tertuduh yang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dijadikan saksi pendakwaan, atau tertuduh dikenakan kompaun,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan kerajaan agar Peguam Negara tidak menarik balik kes profil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Azalina berkata Jabatan Peguam Negara menegaskan keputusan untuk mengenakan atau menggugurkan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan.

Beliau berkata keputusan dibuat adalah dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *