Jauteh
Jauteh (tengah) bercakap pada sidang media ( Sumber Foto: Ihsan PDRM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Polis negeri ini akan meneliti dakwaan keluarga mangsa bunuh bahawa “polis tidak membuat apa-apa” untuk menghalang kejadian itu daripada berlaku walaupun laporan telah dibuat sehari sebelum kejadian.

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Jauteh Dikun memberikan jaminan tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai dan anggota terbabit sekiranya mereka didapati bersalah.

“Polis menerima laporan polis yang dibuat mangsa dan keluarganya…kita akan mengambil tindakan tatatertib selepas siasatan terperinci dijalankan,” katanya kepada wartawan pada satu sidang media pada Selasa.

Mangsa, Nurul Ain Silien, 22, dibunuh oleh bekas tunangnya di Jesselton Mall sini pada 29 Mei lalu.

Keluarganya pada Isnin membuat laporan di Balai Polis Karamunsing dengan mendakwa pihak berkuasa tidak bertindak secukupnya untuk menghalang kejadian itu daripada berlaku.

Ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarkhan, mendakwa tertuduh, Chung King Fung@Haider Daniel Chung, 32, telah mengganggu dan mengugut untuk memukul mangsa sehari sebelum hari kejadian.

Dakwanya Chung bertindak sedemikian selepas anak perempuannya memutuskan pertunangan kerana Chung “telah mengadai emas dan sering menipu”.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *