Pbs
Joachim (duduk, empat dari kanan), John (duduk, lima dari kiri) merakamkan gambar bersama dengan perwakilan yang hadir dalam AGM itu ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

PENAMPANG, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) kini dalam usaha meremajakan parti dengan  menarik lebih ramai para belia dan beliawanis serta golongan profesional menjadi ahli.

Justeru, Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengalu-alukan kemasukan para belia dan beliawanis serta profesional untuk menyertai parti berusia 38 tahun ini.

“Sememangnya PBS mempunyai ramai pemimpin muda serta profesional yang berkelayakan dan berkualiti. Kita berharap mereka ini dapat mempromosi dan menarik lebih ramai lagi belia dan beliawanis serta profesional ke dalam parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N.26 Moyog di Turongou Farmstay, di sini, Ahad lepas.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan PBS mahu menambah bilangan ahli yang berkualiti yang boleh mengundi calon parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita mau juga ahli baharu ini mengikut semua ideologi atau prinsip parti dan mendokong apa juga ketetapan-ketetapan dalam PBS.

“Siapa sahaja diangkat sebagai calon dialah yang kita akan kempen sepenuhnya tanpa berbelah bagi,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, corak politik di Sabah ketika ini menunjukkan tidak ada lagi parti tunggal yang boleh memerintah dengan sendiri seperti pada masa dahulu.

“Pada masa ini, kerajaan hanya boleh dibentuk menerusi gabungan parti-parti politik yang membentuk sebuah kesepakatan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Oleh itu, PBS menyatakan pendirian untuk membentuk kerjasama dengan parti-parti dalam GRS.

“Di peringkat kepimpinan tertinggi juga kita bekerjasama dengan semua komponen GRS. Pada pilihan raya akan datang, PBS tidak ada halangan untuk mematuhi ketetapan dalam GRS untuk menggunakan satu bendera sahaja,” katanya.

Joachim berkata jika di kalangan ahli jawatankuasa PBS dalam parti ada yang berpotensi untuk menjadi calon, semua ahli PBS harus menyokong sepenuhnya.

PBS mempunyai 73 bahagian di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan satu bahagian di Labuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *