James
James (tiga dari kanan) menerima cenderamata daripada Haslina ( Sumber Foto: Ihsan KPMKR )

KOTA KINABALU, SABAH – Sistem Aplikasi D-Ledger membantu golongan wanita menjalankan perniagaan secara digital dan lebih efisien.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, sistem aplikasi D-Ledger membolehkan rekod transaksi, pendapatan dan perbelanjaan serta beberapa urus niaga perniagaan dikendalikan secara digital.

“Gelombang digital mencapai skala yang tidak pernah tercapai sebelum ini dan mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia.

“Jika kita lihat sepuluh tahun yang lalu, sudah begitu banyak perubahan dari pelbagai aspek sama ada cara kita berinteraksi antara satu sama lain, cara kita belajar, berurus niaga malah cara kita memantau kesihatan diri hasil dari sentuhan teknologi yang pesat berkembang.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) mengambil usaha untuk membangunkan sistem aplikasi D-Ledger,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi D-Ledger 2023 yang dihadiri oleh seramai 300 peserta kursus kemahiran dan usahawan wanita bimbingan JHEWA dari pelbagai daerah di Wisma Wanita, pada Isnin.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut memaklumkan selain kursus-kursus kemahiran, bantuan geran peralatan dan program promosi keusahawanan yang dilaksanakan oleh JHEWA, pembangunan sistem D-Ledger juga dilihat sebagai pencetus ke arah memperkasakan para wanita.

“Ini khusus kepada golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah yang baru mahupun yang telah lama berkecimpung dalam bidang keusahawanan agar dapat memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi perniagaan,” tambah beliau.

Turut hadir, Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Lee Chun Khiong, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria @ Marcella David Edick, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri dan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *