Hajiji
Hajiji merasmikan Pesta Kaamatan Suang Olung 2023 serentak dengan Dewan Serbaguna Kampung Selupoh Pogun Lawid dan Dewan Serbaguna Kampung Kiwatu di Dewan Suworoh Kampung Selupoh Tuaran pada Ahad ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat khususnya masyarakat di daerah Tuaran untuk bersama-sama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.

Katanya, dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada rakyat, maka kerajaan
dapat memberi fokus terhadap kelancaran pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, banyak lagi kemudahan infrastruktur seperti balai raya, bekalan air dan
elektrik serta jalan raya di kampung-kampung yang perlu dinaik taraf.

“Perancangan dan peruntukan bagi projek-projek ini telah dan sedang diatur. Sebagai
wakil rakyat kawasan ini, saya akan memberi perhatian sewajar dalam setiap pemasalahan rakyat. Bukan hanya di kawasan ini, malah di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Suang Olung 2023 di
Dewan Suworoh, Kampung Selupoh Tuaran, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, walaupun
sentiasa sibuk kerana mentadbir negeri, namun hatinya tidak pernah melupakan penduduk kampung di kawasannya.

“Sebab itu pada hari ini, walaupun bulan Kaamatan yang diraikan sepanjang bulan Mei
telah berakhir, saya tetap hadir menyantuni orang-orang kampung yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya selama ini. Terima kasih, ponsikou om Kotobian Tadau Tagayo Kaamatan.

“Saya berasa gembira kerana dapat balik kampung dan turun padang untuk berjumpa
dan bersama-sama meraikan Pesta Kaamatan Suang Olung.

“Saya anggap sambutan Kaamatan Suang Olung ini amat istimewa kerana ia menggabungkan 11 buah kampung. Usaha ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dan toleransi di kalangan penduduk ini sentiasa kukuh dan terpelihara”, tegasnya.

Hajiji berharap semangat dan usaha yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus
tersemat di dalam diri masyarakat untuk memacu peningkatan sosio ekonomi dan
kemakmuran bersama.

Katanya, tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’, jelas
meminta rakyat bersama-sama memelihara dan meningkatkan lagi perpaduan, toleransi
dan semangat kekitaan yang tinggi.

Menurutnya, Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang diraikan setiap tahun oleh
masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) dan merupakan satu budaya
yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

“Pesta ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang
baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan
mengeratkan silaturahim, sama ada dari suku kaum Dusun Lotud, Kadazan atau Bajau Sama.

“Semoga Perayaan Pesta Kaamatan Suang Olung ini akan terus memberikan inspirasi
dan kekuatan kepada kita untuk memperkasakan lagi kestabilan, keamanan dan
kemakmuran rakyat.

Atas faktor tersebut, kerajaan negeri menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini dan mencadangkan agar perayaan ini dilaksanakan secara bergilir mengikut kampung setiap tahun, serta akan melibatkan penyertaan lebih banyak lagi kampung-kampung lain”, tambahnya.

Selain merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Suang Olung, Hajiji turut merasmikan
secara serentak Dewan Serbaguna Kampung Selupoh Pogun Lawid, Dewan Serbaguna
Kampung Kiwatu di majlis itu.

Hajiji
Hajiji merasmikan Pesta Kaamatan Suang Olung 2023 serentak dengan Dewan Serbaguna Kampung Selupoh Pogun Lawid dan Dewan Serbaguna Kampung Kiwatu di Dewan Suworoh Kampung Selupoh Tuaran pada Ahad ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *