Jahid
Jahid bersama Norlijah turut sama dalam bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan KPLBS ( Sumber Foto: Ihsan KPLB )

KOTA KINABALU, SABAH – Integriti dalam kalangan penjawat awam adalah amat penting memandangkan setiap penjawat awam diperlukan untuk bertindak secara beramanah kepada kuasa dan tugasnya, telus, tulus, tiada konflik peribadi, mempunyai akauntabiliti dan patuh kepada undang-undang serta peraturan yang berkuatkuasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, integriti wujud dalam diri seseorang individu dengan adanya disiplin serta kekuatan diri yang utuh yang mencerminkan watak dan keperibadian diri yang unggul.

“Sekiranya berlaku konflik kepentingan, keutamaan harus diberikan kepada kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Integriti Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), di Dewan KPLBS, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Samad Jambri, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Danin,Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Datuk Karunanithy  Subbiah, Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) 1 KPLBS, Aftar Nurajat, TSUT 2, Norsafi Dukah, dan TSUT 3, Peter Jonu.

Katanya, punca ketirisan integriti adalah daripada dalam diri individu itu sendiri yang ada kalanya mengatasi prosedur dalaman, struktur dan sistem sedia ada.

“Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi negara, setiap penjawat awam perlu mempunyai displin dan kekuatan diri dalam menghadapi rempuhan dan cabaran integriti,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata objektif Minggu Integriti adalah untuk melestarikan serta memantapkan pembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh, berkesan menerusi program-program yang telah disusun atur.

“Ianya bertujuan untuk memberi pendedahan dan penekanan tentang implikasi buruk amalan rasuah, melahirkan warga kerja yang berakauntabiliti tinggi dalam melaksanakan tanggung jawab, memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *