Polis menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun kerana memandu kereta Proton Saga milik ayahnya di sebuah rumah di Pandamaran pada Ahad baru-baru ini…(Sumber Foto: Sinar Harian)

SHAH ALAM, SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta Proton Saga milik ayahnya ditahan polis di sebuah rumah di Pandamaran pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama ayahnya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.15 pagi.

Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 APJ 1987 iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” ujarnya.

Tindakan dan tangkapan oleh pihak polis dibuat susulan satu klip video berdurasi seminit dan 21 saat diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Terdahulu, kejadian yang berlaku di Jalan Banting-Pandamaran, Selangor, pada Jumaat sempat dirakam rakan kepada kanak-kanak tersebut sebelum menjadi tular di media sosial.

Video tular itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna perak sekitar pukul 6 petang.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *