Anwar
Anwar berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook rasmi Perdana Menteri )

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.

Memetik sumber Berita Harian,  sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) bahawa projek kerja raya umpamanya sekolah daif, klinik daif, baik pulih tandas, tak perlu lagi dibebankan kepada JKR.

“Pindahkan tugas itu kepada jabatan atau pejabat daerah dan Insya-Allah pada minggu depan, saya akan berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini, hari ini.

Anwar berkata, JKR tidak lagi boleh dibebankan kerana jabatan itu mempunyai tanggungjawab besar terutama membabitkan projek seperti lebuh raya dan tebatan banjir.

“Projek besar penting seperti lebuh raya dan tebatan banjir tetapi projek tandas sekolah, parit tepi rumah, pagar masjid bocor itu juga penting termsuk penyaluran bantuan dan sebab itu saya bagi arahan supaya ia disegerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua projek rakyat yang sudah diputuskan, dilaksanakan segera.

Katanya, penegasan itu disampaikannya kepada Jemaah Menteri selain perbincangannya di Kementerian Kewangan serta bersama Ketua Setiausaha Negara.

“Kita mengumumkan yang baik-baik tetapi pelaksanaan itu ialah ketimbang suku tahu pertama tahun lalu adalah lebih baik, tetapi jangan buat ukuran dalam keadaan ketika COVID-19.

“Oleh itu, saya ingin menggesa minggu ini dalam semua jabatan dan mesyuarat, lihat apa yang diluluskan dan apa yang mula dilaksanakan apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah kerana ditugaskan kepada kementerian lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *