Armizan
Armizan (kiri) ketika sidang media berlangsung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Margin simpanan bekalan air di Sabah berada di tahap rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, setakat penghujung tahun 2022, margin simpanan air bagi negeri Sabah adalah pada tahap rendah iaitu 7.3 peratus.

“Secara keseluruhannya, Sabah bersama beberapa negeri lain seperti Perlis dan Melaka berada di tahap rendah iaitu di bawah 10 peratus berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Terengganu yang memiliki margin simpanan air di tahap selesa iaitu melebihi 20 peratus.

“Manakala, jika dilihat secara lebih spesifik di kawasan bandar utama termasuk Greater Kota Kinabalu, kadar margin simpanan air kita sebenarnya berada di paras negatif.

“Oleh sebab itu, Papar menjadi salah satu kawasan dikenal pasti disebabkan kewujudan kawasan tadahan air tertentu sebagai salah satu lokasi yang terlibat untuk cadangan pembinaan empangan.

“Untuk tujuan tersebut, satu pasukan petugas khas dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sosio Ekonomi Penduduk diketuai oleh Pegawai Daerah ditubuhkan berkuatkuasa serta merta,” ujarnya dalam sidang media selepas sesi Taklimat Khas Berkaitan Projek Pembinaan Empangan Papar di Jabatan Air Daerah Papar, pada Sabtu.

Beliau turut menjelaskan fungsi utama pasukan petugas khas berkenaan ditubuhkan adalah untuk melihat aspek pembangunan sosio-ekonomi penduduk yang terlibat.

“Kita perlu bersikap adil kepada penduduk setempat yang terkesan maka sesi libat urus perlu dilaksanakan dari peringkat awal bagi mendengar kebimbangan, aspirasi dan harapan mereka.

“Selain itu, melalui pasukan petugas khas ini juga, kita akan berkongsi maklumat dengan penduduk yang terlibat agar mereka faham pembangunan ini hadir bersama pakej bagi pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan tersebut,” tambahnya.

Armizan memohon kerjasama penduduk setempat agar dapat membenarkan pasukan perunding untuk melaksanakan kajian mereka bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dengan kadar segera.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Suhaimi Asbullah dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *