Kdm
Bekas Timbalan Presiden PBS Datuk Almudin Kaida menyerahkan permohonan keahlian kepada presiden KDM Datuk Peter Anthony ( Sumber Foto: Ihsan KDM )

KOTA BELUD, SABAH – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yakin parti itu boleh melakukan “kejutan” pada pilihan raya negeri akan datang.

Peter berkata ini berdasarkan sokongan rakyat Sabah yang semakin meningkat terhadap parti berbilang kaum itu.

“Siapa sangka calon KDM berjaya menewaskan seorang pemimpin parti di kawasan Kota Marudu pada pilihan raya parlimen baru-baru ini?

“Mengambil kira senario politik semasa, jangan terkejut jika KDM memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Peter yang juga ADUN Melalap berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Jawatankuasa protem bahagian KDM Kota Belud di Sunset Beach, Kampung Nanamun, Jalan Rampaian Laut pada Sabtu.

Ahli jawatankuasa protem KDM Kota Belud diketuai bekas Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Almudin Kaida.

Turut hadir Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda dan Naib Presiden Henry Saimpon.

“Kempen politik untuk tahun ini masih belum bermula, tetapi akan ada dorongan yang lebih kuat untuk sokongan orang ramai tahun depan,” kata Peter.

Beliau turut membayangkan hasrat parti itu untuk bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri akan datang khususnya di kawasan pedalaman dan utara Sabah.

“Walaupun parti KDM parti kecil, ia bergerak seperti kura-kura tetapi dengan semangat menggerak ‘palan-palan’ saya yakin akhirnya kita akan mencapai kejayaan,” katanya.

Peter turut mengalu-alukan keputusan Almudin menyertai parti KDM yang katanya telah membuka jalan kepada penubuhan bahagian KDM Kota Belud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *