Keracunan
Pelajar asrama disebuah sekolah menengah di Pitas yang dilaporkan keracunan makanan sedang dirawat dihospital ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan 20 pelajar asrama di sebuah sekolah menengah daerah Pitas yang dilaporkan mengalami keracunan metanol.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Asits Sanna berkata, hasil siasatan awal mendapati semua mangsa mempunyai sejarah mengambil minuman berkarbonat yang dibancuh bersama dengan cecair spirit dipercayai mengandungi metanol.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian terbabit dilaporkan berlaku pada Selasa lalu kira-kira jam 2.30 petang.

“Onset terawal kes adalah pada hari Selasa lalu jam lapan malam manakala onset terakhir adalah pada hari Khamis jam 6.30 petang. 

“Sebanyak lapan kes atau 40 peratus mengalami gejala seperti lemah badan, sakit perut, muntah, kabur penglihatan, dan pening kepala. Manakala, 12 kes lagi atau 60 peratus tidak mengalami sebarang gejala,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Disamping itu, beliau juga menyatakan semua kes telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pitas.

Katanya, daripada lapan kes yang bergejala, sebanyak dua kes telah didapati semakin merosot keadaan kesihatannya dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Kedua-dua kes masing-masing telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan ICU Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2).

“Sebanyak lima kes lagi telah dihantar ke HQE pada hari yang sama untuk rawatan lanjut dan satu kes masih  dirawat di Hospital Pitas.

“Manakala 12 kes yang tidak bergejala telah dimasukkan ke dalam wad Hospital Pitas untuk pemantauan dan rawatan seterusnya.

“Sampel-sampel berkaitan telah diambil untuk pengesahan kehadiran metanol termasuklah darah, urin, dan sampel proksi spirit. Punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan mangsa yang terlibat.

Beliau juga menyatakan pihaknya akan turut bekerjasama dengan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas bagi menjalankan siasatan lebih lanjut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *