Tawau
Pasangan suami isteri menjadi mangsa tragedi bot karam ( Sumber Foto: Ihsan keluarga mangsa )

TAWAU, SABAH – Seorang wanita berusia 40-an cedera di kaki terkena kipas enjin manakala suaminya, 56, dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Sungai Melayu pagi Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, wanita terbabit berjaya diselamatkan nelayan di kawasan itu dan dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika suami isteri dari Kg Titingan menaiki bot jongkong membawa muatan botol kosong.

“Bot mereka dikatakan melanggar sesuatu dan menyebabkan ia hilang kawalan sehingga kedua-dua mangsa tercampak ke dalam laut.

Saksi memaklumkan mangsa wanita yang cedera diselamatkan nelayan yang berada di sekitar kawasan itu, manakala suaminya masih belum ditemui,” katanya.

Menurutnya, Pusat Operasi Zon Maritim Tawau yang menerima laporan kejadian mengerahkan Halilintar 7 untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.15 pagi manakala Pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau turut berada di lokasi pada jam 12.50 tengah hari.

Sementara itu, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh keluarga mangsa yang memaklumkan mengenai kakak iparnya, mangsa wanita yang cedera, Lina Aripin dan suaminya Abdul Rahim Kasil.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *