KUCHING, SARAWAK Seorang lelaki warga emas di sini kerugian RM449,200 selepas terpedaya dengan penipuan penyamaran melalui panggilan telefon daripada individu yang mengaku kakitangan Kementerian Komunikasi Malaysia (KKM).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pesara syarikat cari gali minyak dan gas berumur 67 tahun mendakwa menerima panggilan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Diana Abdullah.

Katanya, mangsa dimaklumkan terdapat satu nombor telefon yang didaftarkan atas nama mangsa sedang dalam pemerhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana terlibat dengan kes fitnah pada 19 November tahun lalu.

Jelasnya, panggilan telefon tersebut juga disambungkan kepada Sarjan Vincent, Inspektor Herman dan Inspektor Kho dari Kota Kinabalu, Sabah yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram serta pengedaran dadah.

“Pada 21 November 2022, suspek mengarahkan mangsa untuk membuka akaun bank baharu di sebuah institusi kewangan di bandar raya Kuching untuk tujuan pemantauan pengaliran wang.

“Suspek mengarahkan mangsa memberikan maklumat perbankan miliknya termasuk nombor akaun, nombor pin dan e-mel kepada suspek serta mendaftarkan nombor telefon 014-3944667 yang diberikan oleh suspek untuk perbankan dalam talian miliknya,” katanya semalam.

Mohd Azman menambah, mangsa diarahkan memindahkan wang Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berjumlah RM390,000 ke akaun bank yang baharu dibuka itu dan menjual semua saham di sebuah institusi kewangan berjumlah RM59,263 sebelum dimasukkan ke akaun tersebut.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan baki wang di dalam akaun baharu miliknya dan mendapati ia hanya berbaki RM63.77 sahaja.

Beliau memaklumkan, mangsa kemudiannya membuat semakan dengan dua buah institusi kewangan di Kuching pada 30 Mei lalu dan mendapati wang berjumlah RM449,200 telah dipindahkan dari akaun bank baharu miliknya secara berperingkat ke akaun individu yang tidak dikenali di antara 21 November hingga 2 Disember tahun lalu.

Ekoran itu katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis semalam 6 Jun untuk siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *