Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor…

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menyasarkan memperoleh RM1 bilion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan tahun ini menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata sasaran terbabit akan meningkat kepada 30 peratus untuk tahun hadapan.

“Sehingga kini, anugerah kontrak tempatan telah mencecah RM564 juta, bersamaan dengan 11 peratus jumlah perbelanjaan pada 2022.

“Kami sama-sama serius dalam pengambilan dan pembangunan bakat tempatan dalam sektor ini dan ia adalah keutamaan utama bagi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-10 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Disamping itu, beliau juga turut menambah  keperluan kandungan tempatan bertujuan untuk mewujudkan pekerjaan, menggalakkan pembangunan perusahaan tempatan dan mempercepatkan pemindahan kemahiran dan teknologi, khususnya bagi sektor minyak dan gas.

Hajiji juga menyatakan dibawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mesra pelabur, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh tambahan aset huluan, pengeluaran LNG dan akan mempertimbangkan peluang tenaga hijau yang sesuai pada masa yang sama.

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran hasil penting untuk negeri ini, kami juga mengalu-alukan pelabur untuk menerokai tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, dan juga peluang pasaran karbon di Sabah.

“Apabila kami mengambil alih tampuk pemerintahan lebih dua tahun lalu, kami menetapkan hala tuju yang jelas dan memaklumkan tindakan yang kami tentukan.

“Kami menetapkan keutamaan utama dalam pelan hala tuju pembangunan lima tahun kami, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menggariskan hala tuju strategik baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah.

“Hari ini, saya berbangga untuk mengatakan kami telah melakukan yang terbaik dan berada di landasan yang betul melihat kemajuan yang telah kami capai,” katanya.

Beliau juga berkata di sebalik cabaran ekonomi yang dihadapi bukan sahaja oleh negeri tetapi di peringkat global, Sabah pada penghujung Disember 2022 telah mencapai hasil RM6.960 bilion, yang tertinggi dicatatkan setakat ini.

“Ia mewakili peningkatan 28 peratus daripada pencapaian tahun sebelumnya sebanyak RM5.449 bilion.

“Kami tidak akan berpuas hati tetapi akan terus melaksanakan dasar yang mantap untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini, mewujudkan lebih banyak ‘spin-off’ ekonomi dan menggandakan usaha kami untuk menjana lebih banyak hasil melalui cara dan sumber baharu dan inovatif,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *