Juhar
Jauteh (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Tun Juhar (kanan) semasa sesi kunjungan hormat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat diseru agar terus bekerjasama rapat dengan polis dalam menangani isu keselamatan di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya sentiasa komited menyelesaikan sebarang isu keselamatan yang timbul secara berkesan demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti pasukan tersebut.

“Kita akan memastikan rakyat akan merasa selamat dan tidak wujud apa-apa keraguan berkaitan dengan keselamatan secara keseluruhan di Sabah.

Setiap elemen ataupun isu yang menimbulkan keraguan itu, kita akan dapatkan jawapan untuk mengembalikan keyakinan dan keselesaan rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat Sabah agar memberikan kerjasama kepada polis dan menjadi rakan kepada PDRM dalam menjaga keselamatan.

“Menjadi rakan bermaksud memberikan informasi dan kerjasama dalam apa juga bentuk bagi mengekalkan keselamatan dan bagi memastikan rakyat dan PDRM sentiasa bersama,” ujar beliau kepada media semasa kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Hadir sama dalam rombongan tersebut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner Shahurinain Jais, Komander Briged Sabah Senior Asisten Komisioner Abdul Rani, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Senior Asisten Komisioner Nik Md Zain Nik Omar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim, Ketua Jabatan Narkotik Asisten Komisioner Polis Zulkepli Hashim dan Ketua Jabatan Logistik Asisten Komisioner Polis Datin Laila Sagir. — JABATAN PENERANGAN SABAH




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *