Juhar
Tun Juhar (kanan) bersama Abu Bakar (kiri) semasa sesi kunjungan hormat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Eksport Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 32.2 peratus pada tahun 2022.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata eksport Sabah menunjukkan prestasi positif bagi sektor eksport dengan nilai RM50 bilion, berbanding RM38.16 pada tahun 2021.

“Pada tahun 2022, Sabah mencatatkan peningkatan 32.2 peratus eksport, begitu juga dari segi jumlah dagangan Sabah dengan negara luar meningkat sebanyak 30 peratus.

“Ini adalah satu perkembangan positif serta memberangsangkan dan Matrade akan terus membantu kerajaan Sabah dalam membangunkan usahawan tempatan bagi mempertingkatkan lagi eksport mereka ke luar negara,” ujar beliau.

Jelas Abu Bakar, Sabah mempunyai sumber asli yang besar dan industri utama eksport termasuk produk berasaskan minyak kelapa sawit dan petroleum.

“Kita turut melihat potensi dalam produk lain seperti makanan dan minuman, produk penjagaan diri dan kosmetik yang boleh dieksport dari Sabah ke luar negara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Dr Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, Matrade dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengadakan Hari Eksport Peringkat Negeri Sabah 2023 yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini dan bertujuan untuk mengembangkan lagi sektor eksport di Sabah.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut Timbalan Pengarah Unit X-Seed Shah Nizam Ahmad dan Pengarah Matrade Sabah Ravidran Manogaran. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *