Arifin
Arifin (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Sapdin ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SIPITANG, SABAH – Kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) memberi peruntukan bantuan RM42 juta bertujuan memperkasa sistem pendidikan negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata inisiatif bantuan-bantuan pendidikan itu merangkumi 10 kategori iaitu Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah (BISTARI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Anugerah Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

“Sebagai mengiktiraf peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memperkasakan Pendidikan di setiap sekolah, sebanyak 1,600 sekolah di seluruh  Sabah mendapat peruntukan RM3 juta pada tahun ini melalui BAGUS.

“BISBAH merupakan bantuan kelengkapan seperti komputer, LCD projector, printer, smart TV, penghawa dingin mudah alih, pembesar suara mudah alih, dan lain-lain peralatan sekolah mendapat peruntukan RM 12 juta dengan harapan dapat melancarkan lagi aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah yang terlibat.

“Bagi menggalakkan sikap menabung sejak lahir lagi, sebanyak RM100 dengan sasaran 20,000 bayi dikreditkan akaun simpanan SSPN melalui BISTARI dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, manakala bagi pelajar kita yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM mendapat bayaran sebanyak RM200 seorang melalui BAKTI mensasarkan 38,000 pelajar daripada kalangan keluarga B40 dan M40.

“Bagi menggalakkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang dan peringkat, kerajaan negeri memperkenalkan AKSA dengan jumlah peruntukan RM500,000 bagi penganugerahan ini.

“Kerajaan negeri juga memandang serius keperluan kewangan golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak-anak ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), justeru BUDI yang mula diperkenalkan pada tahun lalu diteruskan dengan jumlah peruntukan RM10 juta mensasarkan 5,000 orang pelajar.

“Begitu juga BAIK yang menyasarkan pelajar-pelajar Sabah daripada golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan membeli komputer bagi tujuan pembelajaran juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk sasaran 1,000 komputer riba, ” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Forum Malaysia Madani dan Warm2Care Peringkat Zon Pedalaman Bawah di Dewan Serbaguna Sipitang, pada Selasa.

Pada majlis itu, Arifin memperkenalkan tiga inisiatif baharu yang turut mendapat bantuan peruntukan di bawah inisiatif “Sabah Maju Jaya” iaitu Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dan Bantuan Khas Program Agama (BAKPA).

“Pada tahun ini, BALKIS diperkenalkan untuk membaiki kerosakan dan penyelenggaraan dengan kos di bawah RM50,000 dan ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta dan BANTU dengan peruntukan RM 500,000.

“Dalam usaha memperkasakan bidang keagamaan di negeri ini, Kerajaan Negeri turut memberi peruntukan melalui BAKPA dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan program-program keagamaan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Arifin turut menyaksikan penyampaian sumbangan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi dana zakat bulanan kepada 354 asnaf dan fakir miskin daerah Sipitang berjumlah RM1.299 juta.

Manakala, Perbadanan Baitulmal Sabah (PBNS) menyumbang RM2 ribu kepada setiap bahagian badan dakwah daerah Sipitang terdiri dari Badan Dakwah Pejabat Daerah Sipitang, Badan Dakwah Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Sipitang dan Badan Dakwah Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharram, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Sulaiman Omar dan Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *