KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki memukul (menunjal) kepala dan mengugut seorang pemandu wanita dalam satu video yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sekitar Serdang, Selangor semalam selepas wanita berusia 24 tahun itu membuat laporan polis.

“Suspek yang merupakan seorang penyelia kilang di Serdang ditahan dan dibawa ke IPD Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik FMT.

Yusri berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada 5 Jun 2023 jam 5.33 petang ketika wanita itu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Katanya, ketika itu wanita tersebut cuba memotong sebuah kereta Proton Persona warna kelabu yang berada di hadapannya tetapi gagal.

“Suspek yang menaiki kereta Persona itu kemudiannya menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar sebelum turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa…

“Apabila mangsa menurunkan cermin kereta, suspek telah memarahi dan secara tiba-tiba memukul (menunjal) kepala mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya, tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 323, 506 dan 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki berbadan sasa yang digelar ‘Bro Sado’ oleh sesetengah netizen telah memarahi seorang pemandu wanita sebelum bertindak memukul (menunjal) kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan wanita tersebut.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *