Penyamun
Lima daripada tujuh penjenayah yang disyaki menyamun sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang di sini, ditahan ( Sumber Foto: Ihsan PDRM Sarawak )

PADAWAN, SARAWAK – Lima daripada tujuh penjenayah yang disyaki menyamun sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang di sini, ditahan, Ahad lepas.

Memetik sumber Harian Metro, video rompakan oleh sekupulan lelaki yang bersenjata itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, empat daripada suspek berusia antara 34 hingga 41 tahun dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Arang, Kuching, pada 5.30 petang.

Katanya, seorang lagi suspek berusia 38 tahun ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Abell, Kuching pada 12.10 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat susulan laporan kes samun berkumpulan di sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang, pada 3.01 pagi, 3 Jun lalu.

“Mengikut laporan, pengadu iaitu lelaki berusia 27 tahun didatangi tujuh lelaki bertopeng dan membawa pelbagai senjata tajam serta tukul besi, pada 12.50 tengah malam.

“Pengadu bersama-sama pekerja dan pelanggan sempat melarikan diri.

“Sebaik kesemua suspek beredar menggunakan dua kenderaan, pengadu membuat pemeriksaan di dalam kedai sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan rompak kedai serbaneka serta kedai makan sekitar kawasan Batu Kawa, Matang dan Kuching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *