Zenos
Mendiang Zeno Linos ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook JKNS )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki tempatan berbangsa Dusun, disini yang meninggal dunia baru-baru ini, menjadi penderma organ keempat di Sabah tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai mendiang Zeno Linos, 31, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) disebabkan masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas keluarga mendiang dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, mereka bersetuju mendermakan mata (sepasang kornea) kepada pesakit yang memerlukan.

“Prosedur pendermaan kornea telah disempurnakan dan kemudian berjaya ditransplan ke atas dua orang pesakit di HQE. Kedua-dua penerima tersebut kini dalam proses penyembuhan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Rose Nani turut berkata mendiang yang berasal dari Kampung Kokol Manggatal telah memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol dan seterusnya ke peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manggatal.

“Mendiang kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Politeknik Kota Kinabalu. Pekerjaan terakhir mendiang adalah sebagai tukang masak di salah sebuah restoran di pusat bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau mewakili JKNS turut mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga mendiang atas anugerah kehidupan yang diberikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *