KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada suhu ekstrem yang melebihi 38 darjah Celcius boleh berlaku di Malaysia pada Jun hingga Disember tahun ini.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata pada 16 April lalu, Stesen Meteorologi di Raub, Pahang mencatatkan bacaan 38.6 darjah Celcius suhu harian maksimum.

Menurutnya, bacaan itu adalah yang tertinggi direkodkan dari Januari hingga April dan dijangka suhu tertinggi di Malaysia pada tahun ini.

“Bagaimanapun, tiada stesen Meteorologi yang merekodkan bacaan melebihi 37.5 darjah Celcius pada bulan lalu.

“Lanjutan itu, MetMalaysia menjangkakan tiada suhu ekstrem yang melebihi 38 darjah Celcius boleh berlaku di negara ini pada Jun hingga hujung tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, secara amnya kejadian cuaca lebih panas dan kering yang dijangka berlaku pada Jun sehingga Oktober 2023 disebabkan fenomena El Nino.

Katanya, keadaan El Nino ini lazimnya boleh menyebabkan suhu di rantau negara meningkat sekitar 1.0 darjah Celcius hingga 2.0 darjah Celcius berbanding keadaan biasa.

“Bagaimanapun, pada 30 Mei lalu menunjukkan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) neutral dan dijangka beralih kepada El Nino lemah mulai bulan ini dan mencapai intensiti sederhana pada hujung tahun,” katanya.

Katanya, negara kini juga sedang mengalami Monsun Barat Daya (MBD) dan diramal sehingga September dimana cuaca dijangka lebih kering.

“Namun buat masa ini, MetMalaysia tidak menjangkakan status udara tidak sihat akan berlaku di negara kita.

“Walaupun demikian, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *