Sumber Foto: KPDN…

LABUAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam mematahkan percubaan sebuah sindiket kecil-kecilan untuk menyeludup sejumlah 575 liter petrol bernilai kira-kira RM1,180 dalam satu serbuan dekat sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Labuan Amiluddin Malang berkata sepasukan anggota kementerian itu telah menyerbu sebuah jeti haram di pinggir bandar pada kira-kira 9 pagi dalam operasi yang digelar ‘Op Tiris’.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai bergiat aktif dalam tempoh agak lama.

“Berdasarkan maklumat dan risikan yang dikumpul sejak seminggu lepas, kami berjaya mengesan pergerakan mereka.

“Semasa serbuan, kami mendapati petrol bersubsidi telah dipindah ke tiga tong dram di atas sebuah lori dan siasatan awal menunjukkan mereka tidak memiliki permit untuk menjalankan operasi memindahkan barang kawalan seperti itu,” katanya.

Amiluddin juga berkata pasukan itu telah menahan pemandu lori terbabit yang berusia 58 tahun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dibaca bersama Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *