KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, di mana pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata untuk tahun di pertengahannya pula, mereka akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.
Katanya, setakat ini sebanyak 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA) di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024.
“Melalui inisiatif ini bermakna pelajar universiti boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja, sekali gus mereka dapat menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.
“Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk bekerja sambilan atau melakukan perkara yang memerlukan mereka tidak berada di kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Jom Masuk U 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program Ijazah Sarjana Muda daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun.
Katanya, pihaknya sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.
“Oleh itu, kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak.
“Atas dasar berkenaan, sebanyak 44 program pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.
“Sekali lagi, dengan pemendekan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung.
“Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya.
Selain itu, berdasarkan maklumat dan pemerhatian KPT, Mohamed Khaled berkata, terdapat pelajar daripada keluarga B40 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.
Katanya, perkara itu adalah sesuatu yang sangat dikesali dan KPT nekad memastikan tragedi seperti itu tidak berulang lagi.
“Justeru, ingin saya umumkan adalah berkenaan dengan inisiatif KPT dalam memastikan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.
“Inisiatif khas ini dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau SULUNG dan telah dimulakan pada tahun lalu.
“Program SULUNG ini mensasarkan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya diterima masuk ke universiti. Mereka yang dikenal pasti ini akan dikecualikan sepenuhnya bayaran yuran pengajian.
“Bagi tahun ini, seramai 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua 20 UA,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu akan memberi implikasi kewangan keseluruhan sebanyak kira-kira RM30 juta kepada semua UA.
“Semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, KPT buat pertama kalinya akan memperkenalkan Program Asasi Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini.
Katanya, ia membolehkan pemohon program TVET yang berjaya, akan ditempatkan di satu daripada lima Pusat Asasi TVET terpilih yang akan dibuka di seluruh negara.