Unk
Barisan pemenang akhir UNK 2023 bertempat di Hongkod Koisaan KDCA ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua peserta Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Negeri Sabah telah diberi pendedahan soalan bagi sesi soal jawab dalam pertandingan Unduk Ngadau terlebih dahulu.

Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri, Joanna Kitingan bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menyatakan secara spesifik soalan yang akan diberikan kepada semua peserta terbabit.

Mengulas lanjut berhubung soalan mengelirukan yang tular baru-baru ini, Joanna berkata pada malam sebelum sesi soal jawab terbabit, semua ahli jawatankuasa telah membacakan setiap soalan berkenaan.

“Kami bertanya pada semua peserta UNK sekiranya mereka memahami semua soalan dan mereka menyatakan mereka faham.

“Setiap tiga soalan wajib dalam bahasa ibunda juga telah dibacakan. Bagi lima soalan umum, mereka boleh menjawab dalam bahasa yang mereka selesa untuk bertutur.

“Mereka juga telah dimaklumkan untuk mendengarnya dengan teliti dan mencatat nota. Ini kerana kita tidak tahu soalan apakah yang akan mereka dapat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Joanna menyatakan kritikan yang dilemparkan terhadap soalan yang diutarakan itu adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan.

“Dua orang (peserta UNK) yang lain juga menjawab soalan yang sama jadi mengapa perlu kecoh? Semua soalan telah disediakan dan dibincangkan bersama ahli jawatankuasa.

“Malah, mereka bernasib baik kerana mereka telah diberikan pembayang untuk soalan yang bakal ditanyakan.

“Soalan yang dibacakan oleh pengacara majlis tidak semestinya sama (perkataan demi perkataan) dengan soalan yang diberikan kepada mereka,” jelasnya.

Baru-baru ini, tular soalan dimana ia dibacakan: “Perpaduan bermula daripada keluarga. Namun hubungan yang sihat dan mesra belum tentu dapat menjamin kerjaya kita. Apakah kaitan pengorbanan tersebut dengan pertandingan Unduk Ngadau?”

Soalan yang diutarakan telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam dan rata-ratanya menyifatkan soalan tersebut adalah mengelirukan.

 

 

 

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *