Joachim
Joachim (tengah) sedang memberi penerangan kepada ahli mesyuarat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 15 acara termasuk dua yang baharu bakal diadakan sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam memaklumkan ini selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perayaan yang pertama yang diadakan di bangunan Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Katanya, dua acara baharu yang akan diadakan itu iaitu acara Pameran Interaktif Digital Institusi Tuan Yang Terutama (TYT) dan Malam Ilmuan Islam.

Beliau menambah, acara lain yang bakal diadakan ialah Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa; Istiadat Perbarisan, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Kebesaran Negeri Sabah, Majlis Jamuan Negeri, Majlis Sanjungan Kasih, konvoi bermotosikal berkuasa tinggi PDRM bersama Tuan Yang Terutama, Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-kanak Istimewa dan Anak-anak Yatim, Berbasikal Bersama TYT, Majlis Perasmian Pameran Khas ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’, Majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah, Kejohanan Golf Amal TYT, Majlis Sambutan Hari Etnik dan Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah.

Urusetia Jawatankuasa Induk terdiri daripada kakitangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, selaku Ketua Urusetia, Faridah Giau.

Mesyuarat hari ini membincangkan cadangan acara sambutan perayaan dan agihan tugas.

Hadir sama ialah Pembantu-pembantu Menteri KKTP yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa iaitu Datuk Isnin Aliasnih dan Mohamad Hamsan Awang Supain, dan Setiausaha Tetap yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk, Datuk Dr Jamili Nais.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *