Juhar
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melakukan upacara Mongomot atau menuai padi sebagai tanda simbolik perasmian penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di Penampang ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila turut dihadiri pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kehadiran Perdana Menteri untuk meraikan penutupan sambutan perayaan Pesta Kaamatan sesungguhnya melahirkan rasa bangga dan teruja kepada rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).

“Kaamatan, adalah perayaan yang berjaya mengangkat martabat budaya dan adat
resam suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus di Sabah, dan kami bangga
dengannya kerana Sabah turut dikenali dunia dengan penganjuran acara Kaamatan ini.

“Justeru, rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus
(KDMR), tentu sekali turut berasa bangga dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri pada hari ini.

“Ini adalah satu lagi detik bersejarah dalam siri sambutan perayaan Pesta Kaamatan
Peringkat Negeri. Sesungguhnya, bukan mudah untuk kita mendapat peluang sebegini rupa, pemimpin nombor satu negara yang sentiasa sibuk dengan jadual yang sangat padat, hadir bersama-sama kita di dalam dewan KDCA yang terkenal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penutupan Sambutan Pesta Kaamatan
peringkat negeri Sabah 2023 di Dewan KDCA di sini, hari ini.

Penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama isterinya, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri
Makanan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *